Kota Bharu: Kerajaan Kelantan hari ini mengumumkan lesen untuk pendulang emas bagi tanah kerajaan hanya dibenarkan kepada rakyat negeri itu dengan bayaran RM100 untuk setahun.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, rakyat Kelantan yang berminat dengan aktiviti berkenaan boleh membuat permohonan lesen mulai Januari depan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Katanya, mereka yang diberikan lesen nanti hanya dibenarkan menggunakan kaedah tradisional sahaja tanpa menggunakan sebarang alat atau mesin.

“Mereka hanya dibenarkan mendulang di kawasan yang digazetkan sebagai tanah kerajaan dan kita akan maklumkan kepada mereka syarat dan lokasi yang ditetapkan.

“Kawasan mendulang emas yang dikenal pasti adalah di empat daerah iaitu Tanah Merah, Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai.

“Hasil emas yang diperoleh nanti perlu dijual kepada pembeli emas yang berlesen dengan kerajaan negeri kerana pembeli emas berkenaan juga perlu membayar royalti.

“Mereka yang mahu menjadi pembeli emas juga perlu memohon lesen dan ia terbuka untuk sesiapa sahaja rakyat Kelantan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi mereka yang mendulang di luar kawasan yang ditetapkan akan dikenakan tindakan undang-undang.

“Pendekatan kerajaan negeri ini membolehkan rakyat Kelantan mencari rezeki dengan mendulang emas. Ada dalam kalangan mereka akan menjadikan ia sebagai kerja sampingan dan mungkin juga sebagai pekerjaan tetap sekiranya hasil lumayan.

“Di pihak kerajaan negeri mungkin hasil tidak lumayan, namun kita lebih berharap pendulang yang memperoleh hasil lumayan.

“Masa untuk mendulang juga ditetapkan pada jam 8 pagi hingga 6 petang dan aktiviti ini tidak dibenarkan pada musim tengkujuh.

“Kita berharap penduduk Kelantan yang berminat dengan aktiviti itu dapat memenuhi syarat yang ditetapkan. Kita jangkakan ramai rakyat Kelantan berminat dan memohon lesen mulai bulan depan,” katanya.

Pada masa sama, Fadzli berkata, bagi tanah persendirian dan mereka mahu melakukan aktiviti mendulang emas juga perlu memohon lesen.

Dalam perkembangan lain berhubung lesen kepada pelancong, Mohamed Fadzli berkata perkara itu akan dibincangkan kelak.

Sumber: Berita Harian Online

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *